Monday, April 15, 2013

Perlembagaan negara berkenaan artikel 153


Perlembagaan negara berkenaan artikel 153
======================

1. Perkara 153 adalah di bawah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong.

2. Perlembagaan memberi kuasa kepada Raja-raja Melayu untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu.

3. Perlembagaan tidak memberikan Parlimen kuasa penuh untuk meminda Perkara 153.

4.  Peruntukan ini hanya boleh dipinda sekiranya mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

5. Selain daripada itu, apa juga polisi yang diperkenalkan berdasarkan Perkara 153 tidak boleh diubah kecuali mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

6. Majoriti ahli Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab menjaga keistimewaan Melayu atas nasihat Jemaah Menteri.

7. Justice Abdul Hamid, ahli Suruhanjaya Reid dari Pakistan, dalam nota kecualiannya menyatakan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini adalah kuasa budi bicara.

8.  Baginda boleh menjalankan kuasa berkaitan keistimewaan Melayu di atas keputusan sendiri tanpa mendapatkan nasihat Jemaah Menteri.

9. Keadaan ini amat kukuh untuk dihujahkan bahawa keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 adalah satu "hak" dan bukanlah hanya keistimewaan dalam kata harfiahnya.

10. Saya perlu nyatakan bahawa Perkara 153 adalah sebahagian daripada hak asasi.

11.  Pengiktirafan sebegini juga diamalkan di negara-negara lain.

12. Hak asasi ini diiktiraf oleh kebanyakan negara untuk menjaga kestabilan sosial supaya sesuatu kaum tidak terpinggir dan keadilan dapat dicapai dengan memberi peluang kepada semua.

13. Hak asasi ini boleh dikatakan sebagai pengecualian kepada dasar kesamarataan menggunakan prinsip diskriminasi positif atau juga dikenali sebagai affirmative action.

14. Di negara seperti Amerika Syarikat, dasar affirmative action ini tidak disebut di dalam Perlembagaan.

15. Ia hanyalah polisi pentadbiran negara. Negara kita mengiktiraf keistimewaan Melayu di dalam Perlembagaannya.

16. Ini menjadikan kedudukan istimewa ini lebih "istimewa" berbanding amalan di Amerika Syarikat.

17. Perkara 153 diperkenalkan bukan kerana sifat rendah diri atau inferiority complex orang Melayu sebagaimana anggapan sesetengah pihak.

18. Ia bukan tongkat kepada Melayu.

19. Ia merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu kerana asal negara ini adalah "Tanah Melayu".

20. Ia tiada kaitan dengan kedudukan kaum lain yang telah lama berada dan menyumbang kepada negara ini.

21. Objektif Perkara 153 bukan juga untuk mempersoalkan kehadiran kaum bukan Melayu di negara ini.

22.  Kaum bukan Melayu tidak harus merasa bimbang dengan kekalnya Perkara 153 di dalam Perlembagaan.

23. Apa yang ingin saya sampaikan adalah penghormatan harus diberikan kepada kaum Melayu dan penghormatan tersebut sebenarnya di iktiraf oleh Perlembagaan.

24. Walau apa pun, saya tidak fikir keistimewaan Melayu ini satu diskriminasi, walau dikatakan sebagai diskriminasi positif.

25. Ia adalah satu struktur sistem yang telah dicipta untuk kestabilan negara ini.

26. Oleh itu prinsip keluruhan Perlembagaan atau ketinggian Perlembagan harus sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

27. Keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu di dalam Perkara 153 adalah satu hak yang diiktiraf oleh Perlembagaan dan tidak harus dipertikaikan.

28. Ingin saya tegaskan di sini bahawa Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat kedudukan kaum bukan Melayu di negara ini.

29. Walaupun peruntukan telah wujud sepanjang 53 tahun lepas, ia tidak menjadi penghalang yang besar kepada bangsa bukan Melayu untuk memakmurkan kedudukan sosial dan ekonomi mereka di negara ini.

30. Perkara 153 tidak menafikan kedudukan kaum bukan Melayu.

31. Sebenarnya tiada hujah yang konkrit untuk dikatakan kuota Melayu menerusi Perkara 153 ini telah menafikan kedudukan kaum bukan Melayu sehingga menjadikan kaum bukan Melayu merempat di negara ini. .

32. Malah, apa yang kita saksikan dengan nyata ialah, kaum Melayu, atas apa sebab sekalipun, masih lagi di belakang kaum bukan Melayu dalam aspek kedudukan ekonomi.

33.  Tiada kemudaratan yang dilahirkan oleh Perkara 153 walaupun ia seringkali dijadikan alasan amalan ketidaksamarataan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.

No comments:

Post a Comment