Monday, April 15, 2013

Keistimewaan Melayu adalah hak


Keistimewaan Melayu adalah hak
====================

1. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak istimewa orang-orang Melayu.

2. Ia hendaklah ditafsir menurut sejarah dan falsafah yang ada di sebalik kewujudannya.

3. Ini kerana peruntukan itu wujud dengan nilai, sejarah dan falsafah yang tertentu.

4. Mungkin ada pembaca yang tidak bersetuju dengan apa yang saya katakan ini.

5.  Mereka mungkin berkata, perubahan masa dan keadaan menuntut perubahan kepada budaya, keadaan sosial dan falsafah Perlembagaan negara.

6. Walau apa pun, saya amat yakin bahawa majoriti masyarakat Melayu menganggap keistimewaan ini sebagai hak dan mereka inginkan nilai, sejarah dan falsafah kewujudan Perkara 153 diambil kira dalam membuat tafsirannya.

7. Amat menyedihkan apabila orang Melayu yang mendapat manfaat daripada Perkara 153 sendiri telah mentafsir peruntukan ini dengan menafikan "hak" orang Melayu.

8. Atas apa alasan sekalipun ulasan atau tafsiran terhadap Perkara 153 dibuat, ia amat tidak adil kepada orang Melayu.

9. Hakikatnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi asas kepada kedudukan istimewa orang Melayu telah dikategorikan sebagai perkara sensitif.

10.  Mempersoalkan kedudukannya sehingga mencadangkan supaya ia dilupuskan daripada Perlembagaan secara perundangannya dikategorikan sebagai satu hasutan.

11. Peristiwa berdarah 1969 juga mempunyai kaitan dengan Perkara 153.

12. Atas alasan kestabilan negara, perkara berkaitan keistimewaan Melayu diberi perhatian serius dan diklasifikasi sebagai perkara sensitif.

13. Walaupun pendakwaan jarang sekali dilakukan berkaitan perbuatan mempersoalkannya, peruntukan berkaitan amat jelas wujud di dalam Akta Hasutan.

14. Keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukan perkara baru.

15.  Ia adalah antara menu utama dalam pembentukan asal negara ini.

16. Istilah keistimewaan Melayu bermula sejak campurtangan British di Tanah Melayu.

17.  Ketika pemerintahan British, keistimewaan orang Melayu dijaga melalui polisi di dalam pentadbiran British.

18.  Polisi keistimewaan Melayu diiktiraf British kerana rungutan dan permintaan para raja Melayu.

19. Disebut di dalam laporan Suruhanjaya Reid bahawa keputusan untuk memasukkan peruntukan berkaitan keistimewaan Melayu ke dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mendapat tentangan yang menyerlah walaupun tindakan untuk menambahkan lagi keistimewaan tersebut mendapat reaksi negatif banyak pihak.

20. Suruhanjaya Reid juga menyebut mengenai pertembungan antara kehendak prinsip kesamarataan antara rakyat yang berbilang bangsa.

21. Walaupun begitu, Suruhanjaya berpendapat, peruntukan mengenai keistimewaan Melayu amatlah diperlukan bagi menjaga kedudukan bangsa Melayu.

22. Selain daripada itu, keistimewaan Melayu juga diperlukan bagi menjamin kedudukan Melayu dalam proses integrasi antara kaum-kaum di negara ini setelah prinsip "common nationality" diperkenalkan oleh Perlembagaan Persekutuan 1957

23. Apa yang dapat dihujahkan daripada kenyataan Laporan Suruhanjaya Reid ini ialah proses integrasi antara pelbagai bangsa yang ada di Tanah Melayu akan mengambil masa yang agak panjang.

24. Pada andaian Suruhanjaya Reid sekiranya proses integrasi antara pelbagai kaum di negara ini menjadi bertambah baik, ia akan seterusnya dapat mengurangkan atau menghapuskan keistimewaan Melayu.

25. Apa yang dapat difahami daripada kenyataan Suruhanjaya Reid ini adalah, selagi mana integrasi antara pelbagai kaum belum mencapai tahap matang, kedudukan istimewa Melayu harus dikekalkan.

26. Sehingga 53 tahun merdeka integrasi antara pelbagai bangsa di negara ini masih menjadi agenda utama negara.

27. Perkara berkaitan perpaduan atau integrasi antara kaum kekal menjadi isu sensitif.

28. Ada yang berpandangan bahawa perpaduan di kalangan rakyat Malaysia agak rumit kerana negara kita tidak menjalankan proses asimilasi yang mahukan semua pihak melenyapkan identiti bangsa masing-masing dengan menerapkan satu identiti sahaja.

29. Semua kaum di Malaysia masih mengekalkan identiti kaum masing-masing.

30. Seorang cendekiawan mengibaratkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa seperti beberapa batang besi yang diikat bersama.

31.  Batang-batang besi tersebut akan terlerai sekiranya tali pengikat yang menggabungkannya terputus.

32.  Batang-batang besi tersebut tidak dilebur dan dibekukan untuk menjadi satu batang besi yang lebih besar dan tegap.

33. Batang-batang besi yang dilebur dan dikeraskan ini tidak akan terlerai sekiranya tali pengikatnya terputus.

34. Sejauh manakah Suruhanjaya Reid dapat menentukan integrasi kaum di Malaysia akan berjalan lancar dan boleh di capai?

35. Hatta negara-negara yang tamadunnya beratus-ratus tahun masih lagi mempunyai masalah berkaitan perkauman dan ia kekal sampai ke hari ini.

36. Hakikatnya keputusan sama ada keistimewaan Melayu perlu diteruskan ataupun tidak bergantung kepada keadaan dan status orang Melayu.

37. Sekiranya integrasi antara pelbagai kaum tidak mencapai tahap matang seperti andaian Suruhanjaya Reid, kemungkinan untuk kerajaan meneruskan status quo Perkara 153 menjadi jelas.

38. Selain daripada itu, sekiranya kedudukan ekonomi Melayu masih belum mencapai tahap yang boleh dianggap mampu bersaing dengan kaum bukan Melayu, Perkara 153 ini masih diperlukan.

39. Atau, selagi orang Melayu fikir mereka masih memerlukan keistimewaan seperti yang termaktub, ia harus dikekalkan di dalam Perlembagaan.

No comments:

Post a Comment