Sunday, April 14, 2013

Memahami Isu 'Rasis' Di Sebalik Fasal 153

Memahami Isu 'Rasis' Di Sebalik Fasal 153
==========================

1. Menarik sekali apabila kita mengenangkan begitu banyak pihak yang merujuk Fasal 153 Perlembagaan ketika memperkatakan hal-hal hak keistimewaan orang Melayu dan Pribumi di Sabah dan Sarawak.

2. Sebelum berganjak daripada hakikat ini, elok juga disebutkan bahawa Fasal 153 juga menjamin hak bukan Melayu/Pribumi menghayati apa yang telah mereka hayati selama ini.

3. Fasal 153 juga boleh diibaratkan seperti serampang dua mata atau pisau yang tajam dua belah.

4. Disamping menjamin hak-hak Melayu/Pribumi secara langsung, ia mempastikan bahawa tiada undang-undang yang boleh dibuat bagi menjejas atau menghakiskan apa yang sudah dihayati oleh bukan Melayu/Pribumi dalam semua lapangan.

5. Premis ini mencerminkan kesimpulan yang dicapai setelah berlakunya proses tawar menawar dan tolak ansur antara kedua-dua pihak sebelum ianya dimasukkan sebagai satu peruntukan perlembagaan sebelum Tanah Melayu atau Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 ataupun dalam proses melalui tempoh kemerdekaan sehinggalah penubuhan Malaysia dan seterusnya.

6. Mengkaji Fasal ini membawa kita kepada realiti kehidupan masyarakat majmuk dan segala permasaalahannya dalam sinario sebuah negara.

7. Di suatu peringkat, soal-soal berkenaan kuota peratusan Melayu/Pribumi dalam universiti diperuntukkan, dan di peringkat lain pula kuota dan jumlah permit/lesen Melayu/Pribumi, berbanding dengan etnik lain, dalam pelbagai aspek perniagaan, diberikan jaminan.

8. Suatu yang menarik dalam Fasal 153 ini ialah ia memberikan hak kepada pihak negeri membuat peruntukan yang sama dalam perlembagaan masing-masing.

9. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah hendak menguatkan lagi maksud dan penguatkuasaan Fasal 153 ini takut kalau-kalau terdapat sebarang lacuna atau halangan kecil dan besar di peringkat negeri atau setempat, baik berbentuk undang-undang atau sebagainya, yang boleh mengakibatkan maksud Fasal 153 ini menghadapi masalah pelaksanaan dan penguatkuasaan.

10. Peruntukan perlembagaan atau mana-mana undang-undang di seantero dunia kini diberikan interpretasi menurut pertama, bahasa dan pengertian biasa bagaimana sesuatu undang-undang ditulis, dan kedua, sekiranya yang pertama itu masih lagi tidak jelas, konsep teleological dipakai.

11. Teleological atau sinominnya purposive ialah pendekatan yang menekankan apakah maksud asal disebalik sesuatu undang-undang itu dibuat.

12. Ini dengan sendirinya membawa kita kepada suatu masa dan sinario, mungkin berdekad dan berpuloh tahun dulu, ketika berlakunya sesuatu perkembangan sosial-budaya, ekonomi dan politik yang memungkinkan sesuatu peruntukan undang-undang digubalkan.

13. Undang-undang, seperti juga dalam hal-hal lain, tidak wujud dalam kekosongan.

14. Ia terangkum dalam hukum sebab-akibat yang lebih luas.

15. Bercakap tentang perlembagaan, adalah relevan disebut bahawa Perlembagaan British sentiasa dirujuk zaman berzaman sebagai tidak bertulis.

16. Sebenarnya ianya bertulis, tetapi bukan dalam bentuk sebuah buku genap seperti Perlembagaan Malaysia.

17. Sesiapa yang memahami kaedah bahasa Inggeris sedar bahawa pemeriannya, atau expressionnya, sering abstrak untuk menarik naluri ingin tahu agar kita mendekatinya lebih mendalam.

18. Ketika mendekati perlembagaan British, kita akan dapati ianya satu pengumpulan keputusan para hakim atau pemimpin masyarakat, di buat dalam mahkamah atau institusi adat istiadat dari satu masa ke satu masa.

19. Jelaslah keputusan-keputusan itu mencerminkan percubaan menyelesaikan masalah hidup dari peringkat istana ke peringkat rakyat biasa, dari peringkat hubungan antarabangsa hingga hubungan keluarga dan individu dalam serbi serbi kepelbagaian.

20. Ianya dihimpunkan begitu tebal, jelas sekali ianya tidak dibuat menurut satu inisiatif khas dalam satu jangkawaktu yang ditetapkan.

21. Justeru itu, wujudlah pemikiran di kalangan pengamal undang-undang, terutama hakim-hakim dan peguam-peguam yang berwibawa di Britain, iaitu membuat interpretasi undang-undang harus jangan lari daripada memahami latar belakang maksud sesebuah undang-undang itu dibuat.

22. Maka sejarah dan peringkat-peringkat peradaban menjadi faktor rujukan. Memandangkan Britain menjadi negara industri pertama mencapai tahap negara maju melalui Revolusi Industrinya dari abad 18 hingga abad 19, maka banyak peruntukan perlembagaannya mencerminkan masalah dan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan kerenah kehidupan dan perdagangan dalam proses penerusan revolusi itu yang memakan masa amat lama.

23. Sebaliknya di Malaysia, perjalanan negara amat berbeza daripada di Britain.

24. Kita tiada revolusi industri dan revolusi lain.

25. Sebaliknya di sana masalah ras dan hubugan ras amat kecil berbanding dengan apa yang dihadapi Malaysia.

26. Rakyat imigrannya hanya dua peratus daripada jumlah rakyatnya. Maka masalah 'rasisme' tidaklah seberapa.

27. Itupun sebahagian besar imigran hanya terdiri daripada orang India dan Pakistan, ekoran pemisahan dan kemerdekaan India dan Pakistan lebih 60 tahun dulu.

28. Mereka yang bekerja rapat dengan penjajah British diberikan keutamaan berhijrah ke sana.

29. Disebabkan kecilnya peratusan rakyat imigran, maka perlembagaan Britain tidak begitu genap bagi menampung masalah yang ditimbulkan oleh rakyat imigran.

30. Baru sekarang undang-undang dan perlembagaan hendak dikemaskinikan, tetapi bukan tanpa masalah besar memandangkan semua pihak amat termaklum dan berpendidikan.

31. Walaupun British mengenakan syarat dan kuota amat ketat, 1 hingga 2 peratus, untuk menerima rakyat imigran, namun untuk Tanah Melayu atau Malaya, British bersikap amat liberal.

32. Ia mengenakan kuota 25 hingga 30 peratus untuk kemasukan imigran dari negara China dan 5 hingga 10 peratus dari India.

33. Semuanya demi sumbangan kepada ekonomi British. Mereka berfungsi di ladang kopi, lombong bijih timah, ladang getah serta cetusannya.

34. Jika negara-negara jiran yang mempunyai rakyat yang rata-rata satu ras, atau homogenous, menghadapi masalah hubungan kemanusiaan, maka Malaysia yang mempunyai rakyat yang heterogenous (pelbagai ras/etnik) sewajarnya tidak kurang masalahnya.

35. Maka Fasal 153 adalah satu percubaan untuk mengurangkan masalah itu, walaupun mustahil menghapuskannya.

sekian.

No comments:

Post a Comment